Tumpuan :
Nasional

Pelakon Anne Ngasri kini Timbalan Pengerusi GiatMARA

Foto: tangkap layar Instagram/annengasri_official

KUALA LUMPUR: Datin Anne Ngasri bersyukur dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GiatMARA.

Pelakon Anne atau nama sebenarnya, Naszriah Ngasri, 38, berkongsi momen itu menerusi hantaran di Instagramnya.

“Alhamdulillah, menjadi sebahagian keluarga besar GiatMARA Malaysia. Kenangan indah bersama melakar sejarah di Majlis Konvensyen Graduasi Ke-36 GIATMARA Zon Pantai Timur 2023.

“Syukur, Ya Allah dan terima kasih pada yang selalu mendoakan. Saya juga doakan semua dilindungi dan diberi yang terbaik sepanjang perjalanan yang mendatang,” katanya.

Difahamkan, majlis berkenaan berlangsung di Duyong Marina & Resort, Terengganu pada 20 September lalu.

Ibu kepada enam cahaya mata termasuk seorang anak tiri itu pernah menyandang jawatan Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia dan kini menjadi Exco Wanita Umno Malaysia bagi penggal 2023 sehingga 2026.

Kerjaya Anne yang pernah popular dengan drama Cili Padi ketika zaman kanak-kanak dalam bidang kepimpinan bermula selepas bertemu jodoh kali kedua bersama Datuk Mohd Sumali Reduan pada 2012.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Sufi Harraz, 9, dan Nefa Naura, 4.

Terdahulu, pasangan ini juga mempunyai cahaya mata dari perkahwinan sebelum ini. Anne mempunyai tiga cahaya mata daripada perkahwinan pertama iaitu Abdul Warits, 16, Abdul Wafri, 14, dan Nazharah Afroza, 12, manakala, Mohd Sumali mempunyai seorang anak, Suffian Akim, 17.

Loading...
Terkini