Oleh: Kumaran Rajamoney
SINTOK: Hampir setiap jam hubungi keluarga di Palestin untuk bertanyakan perkembangan mereka, kata pelajar Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Hamza Nasri M Alifranji, 19, sejak serangan rejim Zionis tercetus yang sehingga kini sudah meragut lebih 2600 nyawa.
Ada kalanya, anak kedua daripada empat beradik itu terpaksa mendapatkan bantuan rakan-rakan di sana untuk menghubungi keluarganya di Rimal bagi memastikan keadaan mereka selamat.
Hamza berkata, ibu bapa dan adik-beradiknya tidak tinggal di pangsapuri dan kini berlindung di kawasan parkir kerana bimbang keselamatan diri.
“Sekarang arahan dikeluarkan supaya penduduk Gaza mengosongkan kediaman masing-masing tetapi keluarga saya tidak berpindah kerana mereka tidak mahu ‘nakba’ atau malapetaka dan insya-Allah mereka akan hidup.
“Saya berdoa kemelut atau perang yang melanda ini akan berakhir dan rakyat Palestin selamat. Saya juga berharap kami dapat membina semula negara ini dan dapat tinggal bersama keluarga masing-masing tanpa sebarang tekanan, takut, kerisauan dan dapat menikmati kehidupan yang aman,” katanya yang telah menyaksikan peperangan meletus sejak berusia empat tahun.
Berkongsi pengalamannya, Hamza memberitahu, dia pernah melihat sendiri di depan mata, bangunan kediaman jirannya ranap akibat letupan bom pada jarak kira-kira 300 meter sahaja dan dapat merasai gegaran yang kuat.
Katanya, Israel pernah menyerang Rimal pada 2021, bagaimanapun serangan kali ini nyata lebih dahsyat.
Hamza berharap dapat kembali ke Palestin selepas tamat pengajian.
“Saya berterima kasih kepada rakyat di negara ini yang sangat baik dan saya menganggap Malaysia sebagai ‘rumah’ kedua kerana tidak membuatkan saya seperti orang asing,” ujar anak kepada doktor gigi, Nasri M Alifranji, 55 dan suri rumah, Rima Alrayes, 49.
Seorang lagi pelajar Sarjana Muda Keusahawanan, Islam Mohammed Hashim Alhadmi, 21, dari Hebron memberitahu tentera Israel pernah memecah masuk kediaman mereka pada waktu malam dan merosakkan harta benda.
“Kami melalui situasi yang berbeza berbanding dengan penduduk di Gaza kerana kawasan didiami berhampiran dengan peneroka haram Yahudi dan tentera Israel di mana mereka boleh memasuki mana-mana rumah pada bila-bila masa walaupun pada waktu malam.
“Mereka juga pernah memusnahkan kereta abang saya, namun tiada apa mampu dilakukan ketika itu kerana kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang tindakan mereka,” ujar anak kedua dari empat beradik itu.
Islam berkata, dia pernah terputus hubungan dengan keluarga, bagaimanapun dimaklumkan mereka dalam keadaan baik.
“Saya harap Palestin akan bebas dan kami dapat menjalani kehidupan sebagai orang biasa, hidup tanpa gangguan dari orang asing dan mendapatkan kembali tanah serta rumah yang dimiliki nenek moyang,” katanya.