comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar UPM hilang ditemui di Johor

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Irfan yang dilaporkan hilang sebelum ini sudah ditemui selamat oleh keluarganya di Stesen Bas Larkin, Johor Bahru, Johor.

KUALA LUMPUR: Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Irfan Hakimi Azhar yang dilaporkan hilang selepas menunaikan solat Jumaat minggu lalu ditemui selamat oleh keluarganya di Stesen Bas Larkin, Johor Bahru, Johor, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata pemuda berusia 22 tahun itu ditemui semula oleh bapanya, kira-kira jam 5 petang di stesen bas berkenaan.

“Mohd Irfan ditemui dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan sebelum kemudian dibawa pulang oleh ahli keluarganya ke Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

“Difahamkan, ketika ditemui, Mohd Irfan sedang menunggu bas untuk pulang semula ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas dari Stesen Bas Larkin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, alasan Mohd Irfan pergi ke Johor adalah untuk menenangkan fikiran sebelum menghadapi musim peperiksaan.

Katanya, bapa Mohd Irfan sudah pun membuat satu laporan polis berkenaan penemuan semula anaknya itu di Balai Polis Pelabuhan Klang.

Terdahulu, media melaporkan polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Mohd Irfan selepas bapanya membuat laporan mengenai kehilangan anaknya.

Ia selepas bapanya tidak mendapat maklum balas daripada anaknya ketika menghubunginya untuk bertanya khabar kira-kira jam 9 pagi, Jumaat minggu lalu.

Sehubungan itu, kira-kira 2 petang hari sama, lelaki itu meminta bantuan adiknya yang tinggal berdekatan UPM untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bapa Mohd Irfan yang menetap di Sabak Bernam kemudian dimaklumkan adiknya bahawa Mohd Irfan Hakimi dilihat oleh rakan sebiliknya ketika dia pergi solat Jumaat dengan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC135,

Pelajar terbabit tinggal asrama pelajar di UPM, Serdang.

Bapanya kemudian menbuat satu laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam kira-kira jam 4 petang pada Jumaat minggu lalu sebelum kes dirujuk kepada Polis Daerah Serdang.

Semalam, polis memaklumkan orang hilang berkenaan dikesan berada di negeri Johor berdasarkan rekod transaksi kad debit miliknya serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Loading...
Terkini