Tumpuan :
Nasional

Pelajar UM santuni suku Temuan sempena perayaan adat Hari Moyang

KUALA LUMPUR: Seramai 40 orang pelajar dari Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) Universiti Malaya terlibat sebagai sukarelawan meraikan Hari Moyang iaitu perayaan adat masyarakat orang asli suku Temuan di Kampung Bukit Lanjan, Petaling Jaya, Selangor.

Program menjadi platform untuk menyemai semangat perpaduan, mempertahankan identiti budaya dan memperkenalkan warisan tradisional kepada generasi muda serta kepada peserta program.

Program dirasmikan Adun Bukit Lanjan, Pua Pei Ling yang turut dihadiri Tok Batin yang juga ketua kampung, Atak Akob.

Hari Moyang merupakan hari untuk menghormati nenek moyang masyarakat Temuan melalui upacara adat yang diwarisi secara turun-temurun, bagi menghormati ‘semangat’ yang dipercayai melindungi keselamatan dan membawa kehidupan sejahtera kepada generasi masa kini.

Menurut Pengarah Projek Semarak Prihatin ASTAR untuk Komuniti, SPARK Nur Afifah Ahmad Damanhuri, pelajar yang menyertai program itu berpeluang mempelajari nilai-nilai unik masyarakat Temuan, termasuk cara mereka menghormati alam sekitar, kepercayaan terhadap roh nenek moyang dan pengajaran tentang pentingnya adat dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, pelajar berpeluang untuk mendalami adat mereka melalui acara sumpit dan kerchang. Permainan kerchang mencabar minda pelajar, manakala acara sumpit menguji kemahiran dan diawasi oleh wakil Lembaga Adat untuk keselamatan. Aktiviti ini memperkaya pemahaman pelajar tentang adat masyarakat Temuan.” katanya dalam satu kenyataan.

Perkampungan Orang Asli Bukit Lanjan, merupakan penempatan semula masyarakat Temuan yang dikenali sebagai Desa Temuan menempatkan kira-kira 120 keluarga.

Perkampungan itu sebelum ini telah dibangunkan menjadi Desa Temuan, yang kini merupakan sebahagian daripada kawasan perbandaran baru yang dikenali sebagai Damansara Perdana.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini