KOTA BHARU: Padah dek kerana cuba memotong kereta, seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva.
Kejadian berhampiran KM 10.4 Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh, di sini, malam tadi.
Kejadian 10.15 malam itu, mangsa, Muhammad Aqil Rifqi Mohd Suhaimi, 15, yang menunggang motosikal Honda EX5 maut di lokasi akibat cedera di kepala dan dada, manakala pemandu kereta seorang lelaki berusia 41 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian Perodua Viva dari arah Pasir Hor menghala ke Ketereh melalui lebuh raya itu.
Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, dengan tiba-tiba beberapa motosikal termasuk ditunggang mangsa cuba memotong kereta.
“Walaubagaimanapun, mangsa gagal mengawal motosikalnya dan terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkan dia terjatuh dan terseret di lokasi kemalangan.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, manakala motosikalnya remuk di bahagian hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Mayat dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat.