MUAR: “Sejak mendapat tahu kehilangan Muhammad Effzaldanish, nenek sering menangis kerana dialah satu-satunya peneman setiap hari,” kata Siti Nurhaliza Mohd Asri, 25, sepupu kepada pelajar tingkatan dua yang dilaporkan hilang sejak semalam.
Muhammad Effzaldanish Mohd Affendi, 14, adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.
Kehilangan anak tunggal itu disedari oleh neneknya, Jaminah Shari, 90, sebelum meminta bantuan cucu lain mencarinya di sekolah serta kawasan sekitarnya.
Menurut Siti Nurhaliza, pada hari kehilangannya, Effzaldanish berjalan ke sekolah yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah.
Namun katanya, selepas jam 2 petang, kelibatnya langsung tidak kelihatan hingga menyebabkan neneknya gelisah.
“Secara kebetulan, semalam kebanyakan sepupunya pulang ke kampung jadi nenek minta bantuan mereka mencari Effzaldanish namun tidak ditemui.
“Kami juga bertanyakan rakan di sekolah termasuk asrama dan mereka mengatakan Effzaldanish tidak datang ke sekolah.
“Ini yang membuatkan kami bingung memikirkan ke mana dia pergi,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, neneknya sering menangis malah tidak ada selera untuk makan kerana memikirkan Effzaldanish.
Jelasnya, Effzaldanish tinggal bersama nenek sejak berusia tiga tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser payudara.
“Mereka cuma tinggal berdua kerana bapanya sudah berkahwin lain dan menetap di Tampin, Negeri Sembilan. Kami harap sangat Effzaldanish ditemui segera dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya menerima laporan bapa pelajar terbabit pagi tadi.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan dengan merekodkan keterangan bapa mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.