BALING: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Enam maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongor, hari ini.
Situ Umairah Alias dari Batu 51, Jalan Lombong, Kampung Bandar, Mukim Siong yang dalam perjalanan ke sekolah, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan muka.
Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, pihaknya menerima makluman dari orang awam pada jam 7.45 pagi memaklumkan berlaku satu kemalangan jalan raya yang membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta Perodua Myvi berdekatan SMK Bongor, Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari, di sini.
Katanya siasatan awal di lokasi kejadian mendapati pelajar perempuan terbabit menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dari arah rumahnya di Kampung Bandar menuju ke sekolahnya di SMK Baling.
Katanya, ketika itu, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangi lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun dari arah yang sama iaitu dari arah Weng menghala ke Baling.
“Kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kerani di sebuah kedai perkakasan pula dari arah bertentangan iaitu dari arah Baling ke Bongor.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika motosikal yang ditunggangi remaja perempuan itu sedang bergerak lurus, tiba-tiba motosikal Modenas Kriss yang berada di hadapan laluan motosikal remaja itu dipercayai mengubah haluan ke kanan jalan untuk membelok masuk ke simpang di sebelah kanan.
“Keadaan itu menyebabkan pelajar perempuan itu tidak sempat mengelak lalu bergesel di bahagian sisi kanan motosikal yang ditunggangi lelaki warga Indonesia itu dan seterusnya bertembung di bahagian hadapan sebelah kanan kereta Perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, akibat kemalangan itu, pelajar perempuan itu dipercayai melambung dan jatuh di tengah jalan menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala dan muka sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, penunggang motosikal Modenass Kriss juga jatuh di tengah jalan tetapi hanya mengalami luka di tangan dan kaki.
“Pemandu kereta Perodua Myvi itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Shamsudin berkata, mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Hasil siasatan juga mendapati, punca kemalangan akibat penunggang motosikal Modenas Kriss yang ditunggangi warga Indonesia itu yang mengubah haluan dan bergesel dengan mangsa sehingga menyebabkan kemalangan.
“Susulan itu, lelaki terbabit ditahan untuk tindakan lanjut dan ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia negatif dadah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa