
SUNGAI PETANI: Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di daerah ini meninggal dunia selepas menyertai aktiviti merentas desa, hari ini.
Mangsa, Muhammad Haziq Uzayr Hairuddin, 16, dipercayai rebah sebaik tiba di garisan penamat selepas menamatkan larian sejauh enam kilometer.
Mangsa yang sebelum ini aktif bersukan dikatakan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri, menyebabkan suasana panik.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata guru bertugas bersama beberapa pelajar yang juga ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) segera membawa pelajar itu ke khemah berhampiran dan memberikan bantuan kecemasan.
“Bagaimanapun, pelajar itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas ketika bantuan kecemasan diberikan.
“Guru berkenaan kemudian menghubungi ambulans sebelum pelajar itu dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pelajar terbabit meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Hasil temu bual dengan bapa mangsa mendapati anak mereka sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit, selain aktif bersukan.
“Semakan juga mendapati bapa mangsa memberi kebenaran bertulis untuk membenarkan anaknya menyertai acara sukan terbabit,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal pihak polis ke atas mayat pelajar berkenaan tidak menemui sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.