Tumpuan :
Nasional

Pelajar Tingkatan 5 maut nahas jalan raya

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan maut membabitkan pelajar, malam tadi. -Foto IPD Melaka Tengah

MELAKA: Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Molek di sini, maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tambak Paya-Ayer Molek, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa Muhammad Faiz Amran, 17, yang menunggang Yamaha 135LC meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Tambak Paya menuju ke Ayer Molek, manakala Proton Saga dipandu seorang lelaki pekerja swasta dari arah bertentangan.

“Siasatan mendapati, semasa sampai di lokasi kemalangan, penunggang motosikal dipercayai memotong sebuah kenderaan lain.

“Semasa memotong, datang Proton Saga dari arah bertentangan yang gagal mengelak dan membrek lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh petugas perubatan, manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, manakala kenderaan terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.

“Kita juga mengesan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di lokasi kemalangan dan saksi bebas yang melihat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini