Tumpuan :
Kemalangan

Pelajar tingkatan 5 maut, motosikal berlanggar dengan lori

FOTO: Ihsan PDRM

ALOR SETAR: Seorang pelajar lelaki tingkatan lima maut selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori di simpang jalan Kampung Dalam Kota, Jalan Teluk, Mukim Lepai, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Khairi Razin Basirrah, 17, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima maklumat berhubung kemalangan jalan raya yang berlaku di lokasi kejadian di Jalan Teluk Mukim Lepai membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah lori jenis Hino pada jam 9.55 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati arah pergerakan motosikal itu dari simpang sebelah kiri (Jalan Kampung Dalam Kota) ke arah Bukit Pinang manakala lori terbabit dari arah Bukit Pinang ke arah Langgar.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori terbabit sedang bergerak lurus dan pada waktu sama, motosikal pelajar terbabit keluar dari simpang sebelah kiri dan melintas di hadapan lori terbabit secara mengejut menyebabkan pemandu lori itu tidak sempat mengelak sehingga berlaku perlanggaran.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

| ARTIKEL BERKAITAN

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini