Tumpuan :
Nasional

Pelajar tingkatan 5 ditahan dipercayai cabul murid tahun 5

MELAKA: Remaja lelaki ditahan polis dipercayai mencabul murid tahun 5 ketika mangsa sedang bermain dengan sepupunya, di sebuah taman perumahan di Krubong, di sini, Rabu lalu.

Suspek dilaporkan menendang basikal ditunggangi mangsa hingga terjatuh sebelum bertindak mencabulnya di satu lorong di taman terbabit, kira-kira jam 7.40 malam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, laporan kejadian itu dibuat ibu mangsa di Balai Polis Tanjung Minyak pada 29 November lalu, jam 9.08 malam.

“Berdasarkan laporan, suri rumah berusia 35 tahun itu menyatakan dia diberitahu oleh anaknya berusia 11 tahun dan sepupunya berusia tujuh tahun, bahawa mereka ditolak jatuh daripada basikal oleh seorang lelaki tidak dikenali di kawasan lorong taman terbabit.

“Suspek terbabit yang memakai topi keledar berwarna kuning kemudiannya menarik kaki mangsa dan cuba mencium serta meraba kemaluannya.

“Dalam keadaan mencemaskan itu, mangsa bagaimanapun sempat menendang lelaki itu dan menyelamatkan diri,” katanya.

Menurut Zainol, lelaki terbabit yang juga pelajar tingkatan 5 bagaimanapun ditahan oleh orang awam sebelum menghubungi polis.

Katanya, suspek kemudiannya ditangkap oleh anggota Task Force Balai Polis Tanjung Minyak.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017).

“Suspek kini direman enam hari bermula 30 November hingga 5 Disember ini bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini