Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Seorang pelajar tingkatan empat di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kemaman, Terengganu, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di perkarangan sekolahnya, dipercayai setelah menghisap rokok elektronik atau vape jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan, Isnin lalu.
Pelajar lelaki berusia 16 tahun itu terpaksa mendapatkan rawatan perubatansetelah mengalami kesan teruk akibat dari pengambilan bahan berkenaan.
Menurut sumber, murid yang melihat kejadian itu pada jam 10.30 pagi telah memaklumkan kepada guru sebelum mangsa dibawa ke klinik kesihatan terdekat oleh keluarganya.
Mangsa kemudiannya telah dirujuk ke unit kecemasan Hospital Kemaman.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah mengalami sawan kritikal berpunca dari pengambilan perisa bahan kimia yang berbahaya itu secara berlebihan.
Pelajar berkenaan dilaporkan masih dirawat hospital berkenaan.
Menurut sumber lagi, kegiatan menghisap vape dalam kalangan pelajar di sekolah terbabit telah dikesan aktif sejak tiga tahun lalu dan berada di tahap yang membimbangkan.
Berikutan itu satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa pada Jumaat lalu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan ketika dihubungi Buletin TV3 mengesahkan telah menerima laporan yang telah dibuat oleh keluarga mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.