comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar tinggal di Golok bersekolah di Malaysia mulai guna ICQS

Pelajar dari Golok, Thailand yang bersekolah di Malaysia pulang melalui pintu masuk sah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang susulan pengumuman Polis Kelantan akan menahan individu menggunakan pangkalan haram. – FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Segelintir pelajar yang tinggal di Golok, Thailand mula menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) untuk ke sekolah di Rantau Panjang di sini, sejak semalam.

Mereka mendakwa takut untuk guna pangkalan haram, susulan pengumuman Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat yang memaklumkan akan menahan individu terbabit.

Tinjauan di pintu masuk ICQS Rantau Panjang petang semalam mendapati terdapat lima motosikal yang ditunggang pelajar dilihat melalui pintu masuk sah itu sekitar jam 4 hingga 4.30 petang.

Kebanyakan mereka adalah pelajar Tingkatan Empat dan Lima dan menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran Thailand.

Ada yang dilihat menaiki motosikal seorang dan ada juga menaiki berdua ketika melalui pintu masuk berkenaan.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Erika, 16, berkata, dia mula menunggang motosikal sejak semalam selepas isu sempadan menjadi hangat.

“Sebelum ini saya hanya menggunakan bot memandangkan jarak yang sangat dekat dengan rumah dan hanya berjalan.

“Namun disebabkan takut, saya mula menunggang motosikal milik bapa dan mengajak rakan sekelas untuk membonceng bersama-sama supaya jimat kos minyak.

“Selain saya, beberapa rakan di sekolah saya juga sudah bertukar laluan menggunakan ICQS. Walaupun agak sukar, jika ia dikuatkuasakan kami akan menggunakan ICQS,” katanya.

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal sempadan di kawasan Sungai Golok selepas arahan larangan merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram diumumkan oleh Polis Kelantan yang berkuat kuasa pada 1 Disember berlaku pengurangan ketara terhadap jumlah orang ramai yang melalui pangkalan haram untuk ke sempadan selepas pemasangan beberapa papan tanda amaran. – FOTO: NSTP

Rakannya yang mahu dikenali sebagai Shahira berkata, dia memiliki pas sempadan dan tidak menjadi masalah untuk menggunakan ICQS.

“Memang agak rumit sebab saya terpaksa bertolak dari rumah lebih awal bagi mengelak kesesakan di ICQS di Golok dan Rantau Panjang.

“Mungkin sekiranya ICQS dibuka lebih awal selepas ini, ia sedikit memberi kelegaan kepada kami yang mengejar masa untuk ke sekolah,” katanya.

Semalam media melaporkan, isu hampir 500 murid dan pelajar sekolah yang menggunakan pangkalan haram Sungai Golok dari Thailand ke Rantau Panjang setiap hari, akan diputuskan Ahad ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini