Tumpuan :
Nasional

Pelajar tahfiz UNITEN jadi imam solat Jumaat dihadiri Perdana Menteri

Pelajar tahfiz UNITEN, Muhamad Fadzreen Muhamad Fadzil, dipilih untuk menjadi imam solat Jumaat tengah hari tadi yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid UNITEN.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KAJANG:  “Apabila dapat tahu semalam (jadi imam), memang gementar, cari jubah dan sebagainya, tetapi atas nasihat ustaz-ustaz, alhamdulillah dapat mengatasi perasaan tersebut”.

Itu pengalaman dikongsi pelajar tahfiz Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muhamad Fadzreen Muhamad Fadzil apabila dipilih untuk menjadi imam solat Jumaat tengah hari tadi yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah banyak-banyak sebab Allah S.W.T beri peluang untuk saya menjadi imam kepada Perdana Menteri. Saya sangat bersyukur dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi datang ke UNITEN,” katanya yang ditemui di luar perkarangan Masjid UNITEN di sini, seusai solat Jumaat.

Muhamad Fadzreen kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Cyber Security) tahun pertama dan juga Program Pensijilan Tahfiz al-Quran JAKIM-UNITEN.

Anak jati Permatang Pauh, Pulau Pinang berusia 20 tahun itu berkata, pemilihannya sebagai imam oleh ustaz iaitu pensyarah Program Pensijilan Tahfiz itu bagi memberi peluang kepada penuntut menimba ilmu, selain kekangan masa pensyarah dalam menguruskan persiapan kunjungan Perdana Menteri.

Terdahulu, Anwar tiba di UNITEN pada jam 1 tengah hari dan menikmati makan tengah hari di Medan Selera Upten berhampiran masjid.

Ketibaan beliau disambut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Ir Baharin Din serta Naib Canselor UNITEN, Dr Noor Azuan Abu Osman.

Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dengan mahasiswa sebelum menunaikan solat Jumaat bersama lebih 4,000 jemaah.

Anwar yang lengkap berbaju Melayu warna hijau mendengar khutbah bertajuk ‘Tauliah Mengajar, Suatu Keperluan’ yang disampaikan pensyarah tahfiz UNITEN, Ustaz Amaluddin Arshad.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman dan berbual ringkas dengan jemaah, sebelum beredar.

Loading...
Terkini