Tumpuan :
Nasional

Pelajar tahfiz lemas ketika mandi manda bersama rakan di tali air

Foto Ihsan Pembaca

BACHOK: Kegembiraan tiga sahabat mandi di tali air berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas dalam kejadian di Kampung Padang Lati, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 14 tahun dipercayai pelajar tahfiz di sebuah pondok di daerah ini ditemui pada kedalaman tiga meter dalam keadaan mengiring.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Pegawai Bomba Kanan II, Lokman Yusoh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 3.37 petang tadi.

Katanya, bomba melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tepi tali air dan pencarian dasar tali air.

“Mayat mangsa berjaya ditemui jam 4.13 petang iaitu hampir satu jam pencarian.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berkain pelikat tanpa baju, hasil maklumat awal bomba, mangsa dipercayai ke tali air untuk mandi manda bersama dua lagi rakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi membabitkan 14 orang iaitu lapan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok dan enam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa.

Manakala, jentera membabitkan satu Fire Rescue Tender (FRT), satu Toyota Hilux dan satu Mitsubishi Pajero.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Balai Polis Jelawat untuk pemeriksaan sebelum dihantar Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk tindakan lanjut.

Mohamad Ismail berkata, dia menasihati orang ramai supaya tidak bermain air dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri sepanjang musim tengkujuh ketika ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini