comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar tahfiz lemas di air terjun tasik

BUKIT BESI: Seorang remaja etnik Rohingya ditemukan lemas di Kawasan Perkelahan Air Terjun Tasik Puteri, Dungun, Terengganu.

Mangsa dikenali sebagai Almas Khan Alam Shah, 6 tahun, ditemukan pada kedalaman kira-kira dua meter di dasar air terjun pada jam 9.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Mangsa disahkan seorang pelajar sebuah pusat tahfiz di Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut Baharudin, mangsa bersama tujuh lagi rakannya yang juga penuntut di pusat tahfiz yang sama datang ke kawasan perkelahan air terjun tersebut untuk mandi manda

Ketika sedang mandi, salah seorang rakannya yang berumur 17 tahun, hampir lemas dan mangsa dikatakan cuba untuk menyelamatkannya, sebelum dihanyutkan oleh arus deras.

Rakan-rakan lain yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya manakala seorang lagi rakannya telah berjaya diselamatkan oleh seorang penduduk tempatan.

Baharudin berkata, seramai sepuluh orang anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Billah Shah (AMBS) yang tiba tidak lama kemudian telah berjaya mengeluarkan mangsa dari dasar air terjun itu.

Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat manakala rakannya telah diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Bukit Besi dan keadaannya dilaporkan stabil.

Loading...
Terkini