Tumpuan :
Nasional

Pelajar sekolah maut dilanggar motosikal rakan ketika merempit

Mangsa terbabit kemalangan, Hafiz Hakimi Mohd Saiful, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Oleh: Selwam Arjunan

BAYAN LEPAS: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut dalam kemalangan jalan raya dipercayai berlaku ketika mangsa serta rakannya merempit dekat Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, ACP Sazalee Adam berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas dua motosikal dinaiki dua rakan itu dipercayai bertembung selepas hilang kawalan.

Kata beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.30 pagi memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya berdekatan Kilang Keysight dari arah George Town menghala ke Batu Maung.

“Apabila sampai di hadapan Kilang Keysight, mangsa telah terlibat dalam satu kemalangan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa maut menaiki motosikal jenis Honda EX5, manakala rakannya menaiki motosikal Yamaha 135.

“Jumlah kenderaan terlibat dan punca kemalangan masih belum pasti. Tiada saksi yang tampil membantu siasatan setakat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa maut dikenalpasti sebagai Hafiz Hakimi Mohd Saiful, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Nibong.

Mayat dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini