PETALING JAYA: Pelajar yang dikesan terlibat dengan tindakan merosakkan harta benda sekolah di Seberang Perai Selatan (SPS) Pulau Pinang Jumaat lalu akan dibabitkan dalam khidmat komuniti.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang berkata langkah itu sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Jelasnya, keputusan berkenaan dibuat setelah pihak sekolah memanggil pelajar yang terbabit bersama waris mereka, semalam bagi membincangkan isu berkenaan.
Pihaknya juga amat kesal dengan kejadian itu dan akan memastikan ia diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah.
“Langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video berdurasi 28 dan 58 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah selepas tamat sesi persekolahan, semalam.
Menerusi video itu, mereka yang dipercayai bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan, di sini dilihat merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas siling dan pintu tandas.
JPN Pulau Pinang berkata, nilai kerugian kerosakan harta benda berkenaan sedang dalam siasatan.
“Pihak pentadbir sekolah di semua peringkat sering diingatkan untuk mengambil langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian
“Kempen hentikan vandalisme dan pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiat supaya selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.
Ia turut memohon mana-mana portal berita atau media menyiarkan video itu supaya memadamkannya.
Ia kerana perbuatan mendedahkan identiti pelajar bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.