Tumpuan :
Nasional

Pelajar politeknik maut digilis lori di Lebuh AMJ

Keadaan motosikal mangsa yang terperosok di bawah lori tanah dalam kemalangan di Lebuh AMJ, dekat Paya Dalam, semalam. – FOTO: Ihsan IPD Melaka Tengah.

MELAKA: Seorang pelajar dari Politeknik Merlimau Melaka (PMM) maut digilis selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori tanah yang memasuki simpang di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), dekat Paya Dalam, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam, mangsa, Muhammad Danial Noor Hisham, 20, pelajar Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti dilapor cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan membabitkan motosikal Yamaha 15ZR ditunggang mangsa dan lori tanah diterima jam 11.54 pagi.

Katanya, siasatan awal pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah mendapati ketika kejadian Muhammad Danial menunggang motosikal dari arah Merlimau menghala Bukit Lintang.

Difahamkan, lori dipandu lelaki berusia 79 tahun itu pula dari arah Jasin menghala ke tapak pembinaan Taman Bukit Durian Permai untuk menghantar muatan tanah.

FOTO: Ihsan IPD Melaka Tengah.

“Sebaik tiba di tempat kejadian lori berkenaan dikatakan membelok ke lorong sebelah kiri arah tapak pembinaan dan tiba-tiba motosikal mangsa dari arah belakang melanggar bahagian kiri lori dan dipercayai terperosok ke bawah dan digilis.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

FOTO: Ihsan IPD Melaka Tengah.

“Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu lori yang tidak mengalami sebarang turut dibawa ke hospital untuk mengambil sampel darah manakala kenderaan terbabit dibawa untuk pemeriksaan di PUSPAKOM,” katanya lagi.

Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Fuqran Kampung Bukit Larang, malam tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini