BACHOK: Seorang pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman dekat Beris Lalang, Bachok tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meskipun perlu menjaga ibu yang menghidap angin ahmar.
Kisah kejayaan pelajar itu tular di media sosial apabila visual memaparkan pelajar itu Muhammad Syahril Saidi, 18, menerima keputusan SPM daripada guru sekolah yang menghantarnya ke kediaman selepas dia tidak dapat hadir ke sekolah kerana menjaga ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang terlantar sakit.
Katanya, dia yang menetap di Kampung Kandis, Bachok sendiri tidak menyangka mendapat keputusan semua A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Perniagaan, Usul Al-Din, Al-Syariah, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah, Manahij Al-Ulum Al- Islamiah dan Al- Adab Wa Al-Balaghah.
Menurutnya dia sentiasa menumpukan seratus peratus pembelajaran dalam kelas, selain menjaga adab dengan guru.
Katanya balik dari sekolah dia akan urus dan menjaga ibunya bersama kakak.
Namun tidak menganggap ia bebanan kerana percaya jika mengutamakan ibu, makin mudah urusan kehidupan.
Syahril anak bongsu daripada enam beradik, ketika ini dia sedang menyambung pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maahad Yaakubiah, Kampung Nipah, Bachok.
Jelasnya ibunya terkena serangan angin ahmar masih boleh bercakap dan sebaik tahu mendapat 11A, ibunya tersenyum.
Syahril yang sudah kehilangan bapa sejak berusia tujuh tahun, berkata buat masa ini dia akan meneruskan pelajaran peringkat STAM sebelum menyambung ke peringkat Ijazah.
Jelasnya beliau juga memohon orang ramai menghormati keuzuran ibunya, apabila ramai berkunjung ke rumah mereka susulan kejayaannya itu.
Syahril berkata, sejak tular keputusan SPM yang dicapainya, rumah mereka dikunjungi orang tanpa henti.
Pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman dekat Beris Lalang di sini, berkata dia menghargai keprihatinan orang ramai, namun berharap mereka memahami keadaan ibunya dan menjaga aurat ibunya dengan keadaan orang merakam video dan gambar.
Katanya ibunya sakit angin ahmar sejak 2019, namun empat hari sebelum SPM, keadaanya agak lemah.