JASIN: Seorang pelajar Tingkatan Tiga parah selepas motosikal ditunggangnya dirempuh lori ketika melalui persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Parit Putat, Sungai Rambai di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata Muhammad Iqram Rosli, 15, dilaporkan patah tangan dan cedera parah di badan akibat kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu.
Pelajar parah, motosikal dirempuh lori pic.twitter.com/ykZvuktRzo
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 30, 2023
“Siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Muar menghala ke Jasin.
“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat AMJ Parit Putat, pemandunya meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat hijau.
“Bagaimanapun, sebuah motosikal Honda Wave dari arah jalan kiri pekan Sungai Rambai didakwa keluar dari simpang dan dirempuh lori kerana pemandunya tidak sempat membrek dan mengelak.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal yang juga pelajar sebuah sekolah menengah patah tangan dan cedera parah di badan manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Ahmad Jamil berkata, mangsa dibawa oleh ambulans ke Hospital Muar dan kini dirawat di zon merah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.