comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut dilanggar: Keluarga mangsa rayu saksi kejadian tampil, buat laporan polis

Rayuan Zetty meminta saksi tampil bagi membantu siasatan kematian adiknya yang dianggar kereta. FOTO: Zetty Zamrie / Facebook 

KUALA LUMPUR : Keluarga kepada pelajar berusia 17 tahun yang maut selepas dirempuh kereta dipandu pegawai kanan polis, merayu saksi kejadian itu tampil dan membuat laporan polis bagi membantu mereka mendapatkan keadilan terhadap kematian Muhammad  Zaharif Affendi Muhd ​​Zamrie.

Menerusi Facebook, Zetty Zamrie yang juga kakak kepada Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi  berkata, kemalangan membabitkan adiknya itu berlaku di kawasan orang ramai yang pasti ada melihat kejadian itu.

“Di tempat kejadian ada ramai orang, pelajar sekolah, ibu bapa yang nak mengambil anak, orang mahu ke masjid.

“Ketika saya sedang beri bantuan kepada adik saya (yang cedera), ramai yang bersuara mengatakan adik saya sengaja dilanggar, tetapi dalam keadaan yang tidak keruan itu, saya tidak dapat fokus untuk melihat siapa yang mengeluarkan kenyataan itu.

“Jadi, saya perlukan kalian sebagai saksi kejadian untuk tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh. Dengan rendah diri, saya mohon dan merayu bantulah saya untuk menegakkan keadilan buat arwah adik saya,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari Jumaat lalu, Mohammad Zaharif Affendi yang menunggang motosikal dilanggar kereta ketika dalam perjalanan pulang dari sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di Meru, Ipoh.

Kejadian itu tular di media sosial.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga pegawai kanan polis  direman tiga hari bermula semalam  bagi membantu siasatan.

Zetty berharap orang ramai memahami kesedihan ditanggung keluarganya akibat kejadian itu.

“Letaklah sedikit ihsan sesama manusia kepada keluarga saya. Bantulah kami, ibu bapa saya kehilangan anak bongsunya. Kami reda dengan pemergian dia tetapi kami tidak reda orang menganiaya dia,” katanya.

Hantaran itu mendapat lebih 1,300 perkongsian dengan ramai yang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad  Zaharif Affendi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini