Tumpuan :
Nasional

Pelajar matrikulasi Melaka meninggal dunia selepas pengsan ketika beri taklimat sukan

Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) di Londang, Masjid Tanah, Melaka.

MASJID TANAH: Seorang pelajar Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) di Londang, di sini, meninggal dunia selepas pengsan ketika sedang memberikan taklimat sukan di sebuah dewan di situ, malam tadi.

Ahmad Saffiyudeen Ahamad Nzly, 19, dari Kota Damansara, Petaling Jaya, disahkan meninggal jam 11.14 malam ketika sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Alor Gajah.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, berdasarkan laporan Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar KMM, ketika kejadian pelajar jurusan perakaunan itu sedang memberikan taklimat berkaitan sukan bola baling kepada peserta di Dewan Terbuka Rahmat.

Katanya, sebelum itu pada jam 9 malam, satu perjumpaan diadakan antara Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bersama semua peserta Karnival Sukan Kolej Matrikulasi Melaka (KSKMM) di dewan itu.

“Semua ahli JPP diberi tugasan memberikan taklimat sukan yang akan dijalankan semasa karnival dan Ahmad Saffiyudeen menerangkan tentang sukan bola baling.

“Pada jam 9.30 malam, dia tiba-tiba jatuh pengsan sebelum diberikan rawatan kecemasan CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) oleh beberapa pelajar dalam sesi itu yang mahir dan arif serta ahli Pertolongan Cemas St John Ambulans Malaysia bertauliah.

“Felo Blok C1 turut dihubungi yang kemudian memaklumkan kepada ketua pengawal yang menghubungi ambulans,” katanya dihubungi di sini.

Rahmad berkata, pelajar terbabit kemudian dikejarkan ke hospital dengan diiringi felo dan pegawai hal ehwal pelajar selain perkara itu turut dimaklumkan kepada ibu saudara mangsa.

“Ahmad Saffiyudeen disahkan meninggal dunia pada jam 11.14 malam. Ketika ini proses bedah siasat sedang dijalankan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, beliau difahamkan segala urusan berkaitan termasuk pengebumian dan kebajikan arwah diuruskan pihak kolej.

“Jenazah pelajar itu akan dikebumikan di Petaling Jaya, Selangor,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini