Oleh: Azzarouq Zulkiply
SHAH ALAM: Pelajar tahun akhir Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, The PResence Agency di Sekolah Kebangsaan (Asli) Bukit Cheding telah menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama anak-anak masyarakat Orang Asli.
Program ‘Hands For Hope’ ini bertujuan menyerlahkan potensi diri melalui aktiviti-aktiviti yang telah disusun.
Seramai 68 kanak-kanak orang asli diberi pendekatan yang interaktif bagi membina keyakinan dan rasa hormat diri melalui pembelajaran secara langsung.
“Program ini bukan sahaja bertujuan membina keyakinan diri, tetapi juga memberi kesedaran tentang kepentingan pendidikan berkualiti dan penjagaan kesihatan.
“Melalui Hands For Hope, pelajar bukan sahaja menyumbang kepada komuniti tetapi juga mendekatkan hubungan antara UiTM dan masyarakat orang asli.
“Ini adalah langkah penting ke arah pembangunan sosial yang mampan,” kata penasihat program, Encik Abuzar Abdul Halim.
Antara aktiviti interaktif seperti “Dance To The Toothbrush Rhythm”, “Cavity Bowling”, dan “DIY Dentist Game” memberi pendedahan yang menarik kepada kanak-kanak tersebut untuk menyampaikan ilmu penjagaan gigi secara santai dan menyeronokkan.
“Happy Hour with Confidence Game” yang merupakan aktiviti kemuncak memberikan tumpuan kepada kemahiran komunikasi, penguasaan bahasa, dan kerjasama kumpulan.
“Pendekatan mesra ini memupuk kreativiti dan meninggalkan impak positif kepada kanak-kanak. Mereka bukan sahaja belajar dengan lebih efektif, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri mereka,” jelas peserta The PResence Agency.
Menurut Ketua Projek, Cik Iman Nylea, dengan pendekatan empati dan pendidikan berkualiti, mereka ingin membina platform pembangunan diri yang berterusan bagi kanak-kanak orang asli.
Tambahnya, program ini adalah usaha kecil yang memberi impak besar dan membuktikan bahawa sedikit usaha mampu mencipta perubahan yang bermakna.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.