PUTRAJAYA: Pelajar Malaysia yang terkesan susulan protes semakin memuncak di Bangladesh, dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia demi keselamatan mereka.
Kementerian Luar berkata, pihaknya memahami kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan ahli keluarga mereka di Bangladesh.
“Kementerian Luar Negeri ingin menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah keutamaan kami.
“Atas dasar ini, pelajar Malaysia yang terkesan dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi demi keselamatan mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, selain menilai dengan teliti perkembangan terhadap situasi semasa, Kementerian Luar dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia mempertimbangkan semua opsyen yang ada. Opsyen itu termasuk evakuasi jika diperlukan.
“Kementerian ini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi serta agensi lain yang berkaitan dalam usaha untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh.
“Kementerian ini memohon semua pelajar Malaysia agar berhubung dan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
“Rakyat Malaysia juga digesa agar berhati-hati terhadap individu yang menjanjikan bantuan untuk rakyat Malaysia di Bangladesh.
“Lakukan semakan dengan menghubungi Bilik Operasi,” katanya.
Justeru, Kementerian Luar menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh untuk mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan selaras dengan perintah berkurung yang sedang berkuat kuasa.
Kementerian Luar memantau rapat situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Menurut kementerian itu lagi, Bilik Operasi dibuka di Kementerian Luar dan boleh dihubungi di nombor telefon +603-8887 4570 atau emel [email protected].
Protes di Bangladesh bermula bulan ini di kampus universiti ketika pelajar menuntut dihentikan sistem kuota yang memperuntukkan 30 peratus pekerjaan dalam sektor awam untuk ahli keluarga veteran yang berjuang dalam perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971.
Amaran keselamatan tahap tinggi dikeluarkan untuk seluruh Bangladesh, susulan pertempuran ganas antara pelajar dan polis yang berterusan.
Ibu kota Dhaka turut berdepan sekatan telekomunikasi hampir secara total, dengan talian telefon juga terputus dalam tunjuk perasaan yang meragut banyak nyawa itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa