KAHERAH: Semua pelajar Malaysia yang mahu melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar Al-Sharif perlu melalui kursus intensif bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bermula tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaksanaan program bahasa Arab yang dijalankan dengan kerjasama Institut Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Al-Sharif itu dibuat bagi memastikan penguasaan bahasa Arab pelajar terbabit menepati piawaian ditetapkan sebelum mereka meneruskan pengajian.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahan biasiswa kepada pelajar Malaysia yang cemerlang dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan teknologi di Universiti Al-Azhar Al-Sharif antara tiga perkara yang dipersetujui Sheikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb pada pertemuan yang diadakan petang tadi.
Perdana Menteri berkata, dalam perbincangan itu juga, Sheikh Al-Azhar turut bersetuju mewujudkan program Sains Islam (Ulum Islamiah) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Institut Bahasa Arab Al-Azhar Al-Sharif dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan dimulakan pada pengajian semester akan datang.
Anwar berkata, persetujuan juga dicapai bagi menyahut pelawaan Sheikh Al-Azhar untuk menubuhkan Majlis Hukama’ al Muslimin pimpinan beliau di Kuala Lumpur dengan menamakan wakil Malaysia termasuk seorang wanita.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media pada hari terakhir lawatan rasminya selama empat hari ke Mesir, hari ini.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.