comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar lemas ketika mandi di tasik 

FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Kegembiraan sekumpulan pelajar sekolah menengah mandi-manda di kawasan tasik berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas dalam kejadian berhampiran Residensi Manggatal, di sini hari ini.

Mangsa, Hazwi Danial A Rashid, 14, ditemukan pada jam 2.48 petang tadi di dasar tasik pada kedalaman kira-kira empat meter.

Pelajar lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 2.53 petang oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, mangsa dikatakan mandi di tasik terbabit bersama 19 rakan lain, sebelum didapati tenggelam.

Selain Hazwi, seorang lagi rakannya, Adi Iskandar Abdullah, 14, turut dilaporkan lemas, namun berjaya ditemui dan diselamatkan rakan selepas diberi bantuan pernafasan (CPR).

Difahamkan, seramai 20 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, di sini, mandi di tasik terbabit sebelum insiden lemas berlaku.

Pasukan bomba yang menjalankan operasi SAR di lokasi mangsa lemas di tasik berhampiran perumahan Residensi Manggatal, Kota Kinabalu – FOTO: NSTP

Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.44 tengah hari tadi.

Susulan itu, seramai 13 anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi sebelum tiba pada jam 12.51 tengah hari.

Seramai tiga pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) turut berada di lokasi.

Operasi mencari dan menyelamat diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd Faizal Alias.

Katanya, maklumat awal kejadian membabitkan dua orang mangsa lemas di dalam tasik ketika menjalankan aktiviti mandi-manda bersama rakan seramai 20 orang, dengan kesemuanya pelajar SMK Tebobon.

“Mangsa pertama berjaya diselamatkan dan diberikan bantuan CPR oleh rakan mangsa sehingga sedar, manakala mangsa kedua masih belum dijumpai.

“Tindakan pasukan bomba menjalankan operasi SAR di kawasan tepi dan permukaan tasik. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Berikutan penemuan mangsa, SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.12 petang tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini