Tumpuan :
Nasional

Pelajar kulinari Kolej Komuniti Chenderoh buru emas di Jakarta

Khairul Ashikhin bersama enam pelajar kulinari dari Kolej Komuniti Chenderoh yang bakal menyertai Pertandingan Kulinari Antarabangsa 6th LaCuisine @ SIAL Interfood yang dijadualkan berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Oleh: Kumaran Rajamoney

KUALA KANGSAR: Enam pelajar kulinari dari Kolej Komuniti Chenderoh, di sini bersedia untuk memburu kejayaan dalam Pertandingan Kulinari Antarabangsa 6th LaCuisine @ SIAL Interfood yang dijadualkan berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Ketua Program Diploma Seni Kulinari, Khairul Ashikhin Abdullah Suhami menjelaskan, pertandingan ini yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Chef Sedunia (WORLDCHEFS), menarik penyertaan dari enam buah negara dan menjadi medan latihan terbaik buat pelajarnya.

Ketua Program Diploma Seni Kulinari Kolej Komuniti Chenderoh, Khairul Ashikhin Abdullah Suhami

“Penghakiman akan dibuat oleh chef dari seluruh dunia. Ini akan membolehkan nama insitusi pendidikan negara kita mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa. Pelajar juga dapat berkenalan dan menerima pendedahan dari peserta dari negara lain yang sebahagiannya sudah terlibat dalam industri.”

“Antara pendedahan ini termasuk dari segi penggunaan peralatan kulinari yang terkini dan lebih canggih. Ia mungkin tiada dalam sistem pembelajaran yang dijalankan di sini,” katanya.

Pendedahan ini juga katanya membuka ruang kebolehpasaran graduan dari kolej komuniti ke dalam industri dengan lebih mudah.

“Penyertaan pertandingan ini bukan hanya mendidik kita untuk menyedia makanan, tetapi lebih daripada itu. Kita harus bijak membahagi masa, mengatur perjalanan, membuat tempahan bahan mentah serta peralatan dapur.”

“Semua ini sebenarnya menjadi nilai tambah kepada pelajar sebelum mereka menyertai industri,” katanya.

Khairul Ashikhin menjelaskan pihaknya mensasarkan pemerolehan pingat emas dalam penyertaan pertandingan yang dijadualkan berlangsung di antara 13 hingga 16 November ini.

Untuk rekod, Kolej Komuniti Chenderoh sebelum ini telah memenangi 9 pingat emas, 8 pingat perak, 20 pingat gangsa dalam tiga pertandingan kulinari antarabangsa yang disertainya sepanjang tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini