Tumpuan :
Nasional

Pelajar kongsi gambar ulat dalam nasi, sayur dan serangga di dalam hidangan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: “Kita boleh tahan ke kalau cicak nak berak” demikian jawapan yang diberikan seorang pengusaha Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, dengan bongkaknya kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu perbualan telefon.

Menurut Asyraf Wajdi kejadian itu berlaku ketika beliau melakukan lawatan mengejut di lokasi terbabit bagi melihat penyediaan makanan selepas menerima aduan daripada ibu bapa pelajar mengenai kes keracunan makanan pada 30 Ogos lalu.

“Memang confirm akan saya ambil tindakan tegas termasuk memberhentikan kontrak dan tindakan mahkamah pada kontraktor yang ambil sikap sambil lewa hingga mencetuskan risiko kesihatan kepada anak-anak pelajar,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Foto: DR ASYRAF WAJDI DUSUKI / Facebook

Selain itu kata Asyraf pihaknya juga hairan apabila mendapati menu yang ditetapkan pihaknya tidak dipatuhi pengusaha dewan selera itu.

Menerusi ‘terjahan’ dibuat beliau, katanya pengusaha sepatutnya menyediakan ikan tenggiri sebagai menu makan malam seperti ditetapkan MARA.

Namun Asyraf Wajdi mendapati menu disediakan adalah ikan goreng jenis lain dipercayai ikan selayang.

“Ini dikatakan ikan tenggiri? Dalam menu ditetapkan oleh MARA, menu makan malam adalah ikan tenggiri,” katanya.

Dalam kejadian pada 30 Ogos lalu, seramai 31 pelajar keracunan makanan dengan ada dalam kalangan mereka terpaksa dikejarkan ke hospital.

Foto: DR ASYRAF WAJDI DUSUKI / Facebook

Susulan itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya memberi tempoh kepada pengusaha dewan makan terbabit sehingga esok untuk menyelesaikan isu ini atau tindakan selanjutnya akan dikenakan.

Asyraf Wajdi berkata, lebih mengejutkan apabila insiden keracunan di situ bukan pertama kali berlaku, sebaliknya kes sama pernah berlaku tahun lalu apabila seramai 50 orang terjejas pada Oktober tahun lalu.

“Ketika terjahan dilakukan, saya dapati beberapa perkara tidak mengikut piawaian ditetapkan MARA antaranya pekerja tidak mencukupi, tidak mengikut menu harian ditetapkan serta keadaan kebersihan dapur yang berada di tahap tidak memuaskan.

“Rupa-rupanya ini bukan kes pertama yang berlaku, ketika berjumpa dengan pelajar yang menjadi mangsa keracunan makanan ini, mereka memaklumkan bahawa tahun lepas juga seramai 50 orang terkesan dengan isu keracunan makanan.

“Mereka juga berkongsi kepada saya gambar ulat dalam nasi, sayur dan serangga di dalam hidangan yang amat mendukacitakan saya,” katanya.

Semalam, Asyraf Wajdi memberi amaran bahawa MARA akan menyenaraihitamkan kontraktor makanan yang tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan dewan selera MRSM.

Beliau dilaporkan berkata, langkah tegas itu wajar diambil kerana tugasan kontraktor berkenaan membabitkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pelajar yang tidak boleh dikompromi.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi sekali lagi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu membabitkan kesihatan pelajar.

Ini kerana katanya, aspek kesihatan, keselesaan dan kebajikan anak MRSM adalah perkara yang amat dititikberatkan pihaknya.

“Selagi saya menjadi Pengerusi MARA, saya akan pastikan perkara seperti ini diambil berat oleh pegawai MARA demi kebajikan dan keselesaan anak MRSM,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini