SERDANG: Seorang pelajar sebuah kolej vokasional maut apabila dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan untuk mengambil topi keledarnya yang terjatuh di Kilometer 18.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dekat Puchong di sini, hari ini.
Lelaki berusia 18 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 11.45 pagi.
Beliau berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza dan motosikal jenis Honda Vario.
“Siasatan awal mendapati, kereta dari arah Kuala Lumpur ke Putrajaya di lorong kanan terlanggar mangsa yang melintas jalan dipercayai untuk mengambil topi keledar jatuh di lorong kanan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa melambung dan mengenai pembahagi jalan sebelum jatuh di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anbalagan berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia manakala pemandu kereta tidak cedera.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.