Tumpuan :
Nasional

Pelajar IPG maut kemalangan selepas pulang dari Indonesia

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di KM 16 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini. – FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Kegembiraan sekumpulan pelajar yang pulang dari lawatan di Indonesia berakhir dengan tragedi apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer (KM) 16 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Merapoh, hari ini.

Kumpulan pelajar yang terdiri daripada 12 orang dengan menaiki empat buah kenderaan iaitu dua buah Perodua Axia, dan masing-masing sebuah Proton X50 dan Proton Saga dikatakan dalam perjalanan pulang ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, salah seorang pelajar wanita, Nurul Alya Fatnin Mohd Mawardzi, 22, yang menaiki Proton X50 maut di lokasi kejadian manakala tiga lagi rakannya mengalami kecederaan.


AI Ringkas

Kemalangan Meragut Nyawa Pelajar IPG: Nurul Alya Fatnin Mohd Mawardzi, 22, maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. Insiden berlaku pada pukul 6.45 pagi ketika mangsa dan 11 pelajar IPG Kampus Sultan Mizan dalam perjalanan pulang dari lawatan ke Indonesia.

Punca Kemalangan: Kenderaan mangsa berhenti di bahu jalan akibat tayar rosak sebelum dirempuh sebuah treler. Mangsa maut di lokasi, sementara tiga rakan lain cedera, termasuk seorang yang parah dari Perodua Axia.

Pesanan Terakhir Mangsa: Mangsa sempat menghantar mesej WhatsApp kepada ayahnya pada jam 6.29 pagi sebelum kejadian. Beliau dijadualkan menduduki peperiksaan akhir keesokan harinya dan bercuti di Tanah Merah selepas itu.


Pasukan Bomba Gua Musang menerima panggilan kecemasan pada 7.13 pagi dan tiba di lokasi 24 minit kemudian. Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian itu membabitkan sebuah lori, dua Perodua Axia, sebuah Proton X50, dan sebuah Proton Saga.

Empat buah kenderaan yang dinaiki mangsa bersama rakan-rakannya dikatakan dirempuh oleh sebuah treler ketika kenderaan yang dinaiki mereka berhenti di bahu jalan kerana sebuah daripada mengalami kerosakan tayar.

Ibu mangsa, Azizah Harun, 63, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu dalam perjalanan pulang ke IPG selepas lawatan ke Indonesia bersama pensyarah dan rakan-rakannya.

Katanya, arwah sempat berbalas WhatsApp dengan ayahnya, Mohd Mawardzi Akhir, 65, kira-kira jam 6.29 pagi tadi yang bertanyakan lokasinya.

“Dalam pesanan itu, arwah kata baru masuk Gua Musang, dan itu adalah pesanan terakhir arwah yang kami terima.

“Namun pada kira-kira jam 7.58 pagi tadi kami menerima panggil daripada rakan arwah berkaitan kejadian yang berlaku dan bergegas datang ke Hospital Gua Musang,” katanya dalam nada sebak.

Menurut Azizah, arwah akan menduduki peperiksaan akhir, esok dan seterusnya akan menghabiskan cuti di rumah keluarga di Bukit Panau, Tanah Merah.

“Arwah seorang anak yang sangat baik dan dia adalah hafizah yang sudah menghabiskan hafazan 30 juzuk Al-Quran,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.13 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota dan dua jentera dikejarkan ke lokasi kemalangan dan tiba pada pukul 7.37 pagi.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian terdapat kemalangan melibatkan sebuah lori dan tiga buah kenderaan iaitu dua Perodua Axia, sebuah Proton X50, sebuah Proton Saga dan treler jenis Volvo.

“Kemalangan melibatkan empat mangsa dalam kenderaan Proton X50 yang salah seorangnya maut tersepit. Manakala seorang lagi mangsa di dalam sebuah Perodua Axia cedera parah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian kemalangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini