KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menafikan dakwaan pelajar Tingkatan Empat masih tidak sedarkan diri dan dalam keadaan kritikal selepas dikatakan menghisap vape atau rokok elektronik.
Pengarah JPNT, Jelani Sulong berkata, pelajar terbabit dalam keadaan stabil, masih dirawat dan dalam pemantauan di hospital.
Katanya, pelajar berusia 16 tahun itu menghisap vape di luar kawasan sekolah dan kesihatannya tidak seteruk seperti ditularkan melalui laman sosial.
“JPNT juga masih menunggu hasil siasatan yang sedang dilakukan oleh polis serta laporan kesihatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelani berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang pelajar dari sebuah sekolah menengah di daerah Kemaman yang dilaporkan tidak sedarkan diri selepas didakwa menghisap vape pada Isnin lalu.
Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu laporan perubatan sebelum tindakan dilakukan.
Mengulas lanjut, Jelani berkata, JPNT juga masih menunggu laporan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan pihak polis.
“Setakat ini, kita belum menerima laporan hasil siasatan dilakukan polis dan JKNT.
“Kita dimaklumkan pegawai perubatan di JKNT sedang melakukan rawatan secara menyeluruh terhadap pelajar terbabit,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.