Tumpuan :
Nasional

Pelajar diterima ke MRSM diharap tidak tolak tawaran kerana kekangan kewangan

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ditemui pada sidang media mengenai pencapaian Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM), hari ini.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Pemohon yang diterima masuk ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi 2025 diharap tidak menolak tawaran atas faktor kekangan kewangan.

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada semua MRSM untuk menerima kemasukan pelajar terpilih meskipun jika terdapat pelajar yang kurang berkemampuan.

“Kita telah pun memberikan pengarahan kepada semua MRSM agar pastikan pelajar-pelajar yang kita tawarkan ini, kalau ada masalah kewangan, masalah dari segi nak menampung kos contohnya nak beli baju nak beli kelengkapan ke asrama dan sebagainya agar terima mereka dulu dan kita akan cari jalan untuk membantu mereka.

“Yang penting saya tidak mahu sesiapapun dalam kalangan mereka yang tidak berkemampuan, mereka di luar bandar, terkandas ataupun tak dapat masuk ke MRSM hanya kerana faktor kemiskinan dan juga faktor bebanan kos tanggungan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media mengenai pencapaian Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) di sini hari ini.

Tegas beliau, mana-mana pelajar yang berhadapan dengan situasi berkenaan boleh menghubungi MRSM atau pihak MARA untuk mendapatkan bantuan.

Terdahulu katanya sebanyak 93,635 permohonan diterima untuk kemasukan ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 MRSM bagi sesi tahun ini.

Selain itu, seramai 8,909 pemohon berjaya ditawarkan tempat, dengan kapasiti kemasukan 7,229 pelajar Tingkatan 1 dan 1,680 bagi pelajar Tingkatan 4.

Sementara itu, katanya pemohon yang layak dan masih belum mendapat tawaran boleh membuat semakan semula iaitu semakan pertama pada 13 Januari, semakan kedua 27 Januari, semakan ketiga 3 Mac dan semakan keempat pada 17 Mac tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini