KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri mengesahkan rokok eletronik (vape) yang dihisap seorang pelajar lelaki sehingga tidak sedarkan diri dalam satu kejadian di Kemaman bulan lalu, tidak mengandungi bahan terlarang.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata berdasarkan laporan daripada Jabatan Kimia yang diperolehi, tiada kesan dadah atau bahan terlarang dalam tubuh pelajar.
“Kita menerima laporan keputusan daripada Jabatan Kimia Selasa lalu yang mengesahkan tiada sebarang kesan dadah atau bahan terlarang dalam tubuh mangsa yang juga pelajar Tingkatan Empat daripada sebuah sekolah menengah di daerah Kemaman.
“Keadaan pelajar terbabit stabil, tetapi masih menerima rawatan di hospital berikutan menghidap penyakit sawan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri, anjuran Jabatan Penerangan Negeri di perkarangan Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.
Akhir bulan lalu, media melaporkan seorang pelajar dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dipercayai menghisap vape dipercayai mengandungi cendawan ajaib, 22 Julai lalu.
Ketika mengulas punca pelajar terbabit menghidap sawan, Mohd Khairi berkata, pihak hospital sedang menyiasat punca tiba-tiba pelajar berkenaan menghidap sawan.
Berdasarkan laporan Jabatan Kimia, katanya pelajar terbabit tidak boleh disabitkan dengan kesalahan, termasuk dikenakan tindakan di bawah akta dadah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.