KUANTAN: Seramai 99 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Orang Asli dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Pahang menerima antara RM500 dan RM1,100 seorang, hari ini.
Sumbangan wang tunai itu disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan SMA Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang, di sini.
Jumlah keseluruhan sumbangan itu ialah RM74,100 berdasarkan keputusan yang diperolehi pelajar iaitu RM100 bagi 1A.
Bagi pelajar Orang Asli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Maran Puteri Mas Ayu Sudin, 18 dia berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan kerajaan negeri.
“Saya gembira apabila memperoleh 8A 1B dan menjadi kebanggaan keluarga. Pencapaian ini mendorong saya untuk mencapai cita-cita menjadi akauntan.
“Sumbangan ini akan digunakan untuk melanjutkan pelajaran,” kata anak penoreh getah itu.
Ng Ruey Ling, 18 dari SMK Lepar, Pekan yang juga pelajar Orang Asli memperoleh 7A 1B berterima kasih di atas sokongan yang diberikan keluarga, guru dan rakan.
“Kejayaan ini memberi lebih semangat untuk mengulangi pencapaian lebih baik apabila menyambung pelajaran,’ katanya bercita-cita sebagai akauntan.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, sumbangan itu diberikan kepada pelajar yang mendapat 5A hingga 11A iaitu setiap 1A, pelajar akan menerima RM100.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa cakna dan akan “memastikan keputusan terbaik akan diperoleh pelajar yang menduduki SPM.
“Alhamdulillah, setiap tahun keputusan SPM bagi pelajar SMA Pahang meningkat.
“Saya puji Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), guru termasuk Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dalam membantu.
“Begitu juga Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang mendapat tempat pertama sekolah terbaik SPM 2023,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.