Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan semua pelajar cemerlang yang berjaya mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberi ruang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.
Katanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan berkerjasama memperincikan kaedah dan pelaksanaan perkara itu dalam waktu terdekat.
“Sebelum ini, apabila anak lulus SPM dan kemudian dengan terbatasnya ruang pendidikan, ia sedikit sebanyak akan menimbulkan isu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan NTW 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.
“Kerajaan memberi jaminan, pelajar yang mencatat kejayaan (mendapat) 10A atau lebih di semua aliran persekolahan, mereka tanpa kecuali harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan.
“Dengan cara ini, kita dapat meleraikan masalah sementara supaya semangat perpaduan dalam kaum dapat dipupuk serta ditanam bibit ,saya tidak mahu lagi perkara ini dijadikan sebagai isu kaum,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa