Tumpuan :
Nasional

Pelajar cemerlang 11A SPM dapat tajaan lesen motosikal, kereta 

BACHOK: Pelajar cemerlang 11A, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Syahril Saidi,18, mendapat tajaan lesen motosikal dan kereta daripada sebuah sekolah memandu di daerah ini.

Pengarah Urusan  Akademi Memandu KIST (AMKIST), Datin Noor Haslina Abdullah berkata, Syahril sebelum ini sudah mendaftar di pusat memandu berkenaan dan hampir menyelesaikan tempoh belajar bagi lesen B2 dan D.

Katanya, pelajar itu sepatutnya menduduki ujian yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapat lesen motosikal pada 11 Jun lalu, tetapi tertangguh kerana pengebumian jenazah ibunya.

“Syahril akan kembali menduduki ujian JPJ untuk lesen motosikal pada Rabu ini dan menghabiskan baki 14 jam bagi kereta dengan kita bagi guru khas kepada pelajar ini.

“Saya jangka bulan depan, Syahril akan dapat lesen B2 dan D ini,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi pelajar di Kampung Kandis.

Haslina berkata, anak yatim piatu itu mengambil tawaran memiliki lesen AMKIST di bawah program Promax 05 yang dikhususkan untuk pelajar lepasan  SPM.

Katanya, sehingga kini lebih 1,000 pelajar SPM mengikuti kelas B2 dan D berharga RM1,400 berbanding harga asal RM1,800 bagi kedua-dua lesen kenderaan itu.

Beliau berkata, AMKIST turut menyumbang RM1,000 kepada Syahril.

Pihaknya turut mengambil kakak Syahril, iaitu Syafina Saidi, 21  bekerja di AMKIST.

“Kakaknya baru tamat latihan industri dan mengambil jurusan Pengurusan Halal di Politeknik Kuantan, jadi kita tawarkan kerja dengan kita memandangkan jarak rumah mereka dengan pusat memandu dekat sahaja,” katanya.

Sementara itu, Syahril mengucapkan terima kasih kepada AMKIST atas tajaan berkenaan.

“Lesen amat penting bagi urusan saya berulang alik ke sekolah,” katanya.

Loading...
Terkini