Tumpuan :
Nasional

Pelajar alami kelesuan haba selepas lari 4km

Foto hiasan

KUANTAN: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di Pekan dekat sini, mengalami kelesuan haba selepas tidak sedarkan diri semasa melakukan aktiviti larian sejauh empat kilometer hari ini.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pelajar itu telah dirujuk oleh Hospital Pekan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan kini dilaporkan semakin stabil.

“Pemeriksaan awal di Hospital Pekan mendapati pesakit telah mengalami simptom seperti suhu badan terlampau tinggi iaitu melebihi 39 darjah Celsius, degupan jantung meningkat serta percakapan dan fungsi otak terjejas.

“Pesakit telah diberi rawatan hidrasi dan rawatan sokongan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Nor Azimi mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan menghadkan aktiviti luar semasa cuaca panas, menggunakan pelindung diri dan sentiasa mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan.

Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mengawasi gejala keletihan dan strok haba serta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat jika mengalami gejala berkenaan.

Loading...
Terkini