SIK: Seorang pelajar lelaki sebuah madrasah di sini, cedera beberapa bahagian badan akibat disyaki dirotan tenaga pengajar dengan menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) dalam satu kejadian kira-kira dua minggu lalu.
Berdasarkan perkongsian laman sosial ibu saudaranya di Facebook (FB) malam tadi, mendapati pelajar berusia lapan tahun itu lebam teruk di punggung dan pinggang.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Supritendan Abdull Razak Osman berkata, susulan kejadian itu, polis menahan sekolah lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai tenaga pengajar madrasah itu.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan tidak sampai 24 jam selepas laporan dibuat ibu mangsa pada jam 9.24 malam, 11 November lalu.
“Pengadu adalah seorang pengusaha taska di Pulau Pinang, mendakwa datang ke madrasah itu secara mengejut untuk membawa anak angkatnya yang juga kanak-kanak warga negara Indonesia untuk makan.
“Namun sebaik tiba di kedai makan, anak angkatnya itu mengadu sakit sewaktu hendak duduk. Pengadu bagaimanapun terkejut melihat kesan lebam pada tubuh mangsa dan terus datang ke Balai Polis Sik untuk membuat laporan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdull Razak berkata, susulan laporan yang diterima, pada jam 10.38 pagi keesokan harinya, sepasukan polis melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun yang juga tenaga pengajar madrasah berkenaan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek menggunakan sebatang paip pvc yang mengakibatkan mangsa mengalami lebam serta bengkak.
“Pemeriksaan pakar perubatan mengesahkan mangsa mengalami ‘soft tissues injuries. Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 16 November lalu dengan kes sudah pun dirujuk kepada timbalan pendakwa raya negeri.
“Suspek dijangka akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.
Sementara itu dalam perkongsian ibu saudara kanak-kanak terbabit yang tular semalam, wanita itu mendakwa kakaknya adalah ibu angkat wanita terbabit dan masih trauma dengan kejadian itu.
Katanya, pada hari kejadian katanya, kanak-kanak itu hanya berdiri di kedai makan dan enggan duduk sebelum ibu angkatnya itu memintanya membuka seluar untuk melakukan pemeriksaan.
“Menggigil kakak dan emak saya (nenek angkat mangsa) apabila tengok kesan rotan.
“Keadaan ini bukan biasa-biasa dan kakak terus hubungi pihak sekolah, namun pengurusan tak mengaku salah sebaliknya menyalahkan anak angkat itu kerana katanya dia nakal.
“Memang dia nakal dan aktif malah keluarga juga ada marah serta rotan (untuk mendidik) tetapi apa yang dilakukan ini nampak bukan seperti rotan atau denda biasa kerana kalau dikira-kira pada tubuh badan, mungkin 16 sebatan atau lebih dan alat digunakan bukan rotan biasa sebaliknya batang paip,” katanya.
Wanita itu berkata, kakaknya turut membuat laporan mengenai kejadian menimpa kanak-kanak itu di pejabat agama.
“Kes ini masih dalam siasatan, semoga pihak madrasah dapat ambil pengajaran dan tanggungjawab,” katanya.