KUALA LUMPUR: Pelaburan Google berjumlah US$2 bilion (RM9.4 bilion) menjadi bukti kepada perencanaan kerajaan yang jelas, selain kekuatan ekonomi dan sumber negara, menjadi tarikan kepada pelabur sedia ada dan baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia diyakini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital.
Google hari ini mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM9.4 billion di Malaysia, merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi kecerdasan buatan (Al) untuk pelajar dan pendidik di negara ini.
Datuk Seri Anwar berkata, pelaburan Google itu akan menyokong agenda kerajaan dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara.
“Pelaburan ini dijangka akan membawa kesan berganda kepada ekonomi Malaysia sekitar US$3.2 bilion (RM15.04 bilion) dan pewujudan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang 2030,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Dalam pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei lepas, Datuk Seri Anwar berkata, beliau telah menekankan bahawa selain dukungan kepada penggunaan AI secara umum, kerjasama strategik perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertanian.
“Ini penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.