
Oleh: Juliana Sharin
HANOI: Malaysia terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, didorong oleh pelaburan asing dalam pelbagai sektor strategik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited menarik pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pusat data serta teknologi digital bagi memperkukuh daya saing negara.
Jelas beliau, sepanjang tahun lalu, syarikat multinasional seperti Infineon, Microsoft dan Google telah melabur dalam sektor teknologi tinggi di Malaysia, menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
“Alhamdulillah kita catat satu kadar pertumbuhan yang paling tinggi dalam sejarah. Dan bagi Malaysia sangat kritikal. Sebab apa? Malaysia ini negara dagang. Tanpa pelaburan. Kita tak boleh selesaikan masalah peluang pekerjaan dan meningkatkan keupayaan ekonomi,” katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja beliau ke Vietnam.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pencapaian Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM378.5 bilion pada tahun 2024, iaitu paras tertinggi dalam sejarah negara.
Jumlah itu meningkat sebanyak 14.9 peratus berbanding tahun sebelumnya dan merangkumi 6,700 projek merentas sektor utama.
Pelaburan tersebut dijangka mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.
Tambahnya lagi, satu lagi projek kerjasama penting antara Malaysia dan Vietnam dalam industri petrokimia dijangka dimeterai pada Mei ini.
Kerjasama bernilai berbilion ringgit ini bakal merancakkan lagi sektor tenaga dan perindustrian, selain membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan perdagangan dua hala.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.