IPOH: Polis mengesahkan seorang individu dipercayai pekerja warga asing tertimbus dalam insiden runtuhan kuari batu kapur di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai insiden jam 10.45 pagi tadi, dan dimaklumkan mangsa tertimbus dipercayai pekerja lelaki warga asing.
Bagaimanapun beliau berkata, tidak dapat dipastikan sama ada mangsa masih hidup atau sebaliknya.
“Polis sudah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan agensi-agensi lain yang berkaitan di lokasi runtuhan batu berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kerja membawa keluar mangsa dihentikan sementara berikutan masih terdapat pergerakan batu yang jatuh dari tebing yang runtuh.
“Usaha oleh pihak JBPM sudah dilaksanakan tetapi tangan mangsa masih tersangkut di bawah jentera dan belum dapat dikeluarkan. Justeru kerja-kerja membawa keluar mangsa dihentikan sementara,” katanya.