Tumpuan :
Nasional

Pekerja perlu jaga batas dengan kanak-kanak – Nancy 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.

Oleh: Fatin Hanani Sahimi 

PETALING JAYA: Individu yang terlibat dengan kerja hakiki membabitkan kanak-kanak diingatkan menjaga tingkah laku ketika bekerja.

Peringatan itu disuarakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri selepas tular seorang pemandu bas menggelar penumpangnya yang juga murid sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’.

Ditanya mengenai adakah menjadi keperluan latihan khusus diberikan kepada pemandu bas sekolah, beliau memaklumkan ia belum lagi menjadi keperluan.

Begitupun, kesedaran perlu diberikan kepada semua pihak agar isu ini tidak berulang.

“Mungkin ada yang tidak sedar kesilapan mereka. Tapi, tanamlah dalam diri untuk belajar dari kesilapan serta mengambil iktibar,” katanya menerusi kenyataan kepada Buletin TV3, hari ini.

Jelasnya lagi, meskipun ramai yang peka dengan situasi itu, namun terdapat segelintir masyarakat masih tidak sedar perbuatan dilakukan pemandu bas berkenaan adalah satu kesalahan.

“Letakkan kedudukan anda di tempat ibu bapa kepada kanak-kanak tu. Sesuaikah orang lain memegang bahagian badan anak kita?

“Tak semua tahu mengenai undang-undang. Ini menunjukkan betapa pentingnya program advokasi yang giat dijalankan oleh KPWKM iaitu Advokasi Perlindungan KASIH Kanak-Kanak.

“Kesedaran ini bukan sahaja kepada ibu bapa dan guru, tetapi juga serata masyarakat yang memainkan peranan menjadi contoh kepada kanak-kanak itu sendiri,” katanya.

Beliau menerusi hantaran di X turut mengarahkan pegawai dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) mengambil tindakan tegas kepada individu terbabit.

Nancy dalam pada itu, menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC)  yang bekerjasama menangani isu berkenaan.

“Pihak PDRM telah pun menahan pemandu bas sekolah tersebut. Kita juga bekerjasama dengan MCMC bagi meminta video yang melibatkan isu ini dihapuskan dan akaun TikTok telah pun diturunkan,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini