KLUANG: Seorang pekerja penyelenggaraan maut akibat digilis sebuah treler ketika sedang meletak kon bagi kerja pembaikan jalan di Kilometer 63.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, K Krishnan Kutty, 51, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelasnya, saksi yang juga rakan sekerja mangsa memberitahu Krishnan dilanggar sebuah treler ketika sedang berjalan kaki di kawasan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, sebuah treler yang masih belum dikenal pasti dalam perjalanan dari Johor Bharu ke Kuala Lumpur.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, treler itu merempuh mangsa yang sedang bekerja di tempat kejadian. Mangsa ketika itu berjalan di luar garisan lorong kecemasan dan di luar kon semasa kerja pembaikan jalan.
“Treler terbabit terus bergerak meninggalkan tempat kejadian dan rakan kerja mangsa tidak dapat mengenal pasti jenis dan nombor pendaftaran treler berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kawasan kejadian ketika itu gelap tanpa lampu jalan.
Kes diklasifikasi mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk proses selanjutnya. Mangsa beralamat di Yong Peng, Batu Pahat adalah pekerja sub kontraktor lebuhraya berkenaan,” katanya.