Tumpuan :
Nasional

Pekerja pemunggah air batu maut dihempap lori

FOTO: Ihsan PDRM

PONTIAN: Seorang lelaki maut apabila lori yang sedang diisi bungkusan air batu menghempapnya di Jeti Kukup Laut, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihak kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.15 pagi yang dimaklumkan ada seorang lelaki berusia 64 tahun dihempap lori ketika sedang memunggah air batu di lokasi berkenaan.

Katanya, akibat kejadian itu mangsa yang merupakan pekerja sebagai pemunggah air batu meninggal dunia ditempat kejadian.

“Hasil siasatan, kejadian berlaku kemalangan itu disebabkan lantai jeti konkrit secara tiba-tiba runtuh dan pada masa sama lori dengan muatan air batu terbalik dan menghempap mangsa.

“Siasatan selanjutnya, mendapati tiada sebarang unsur kejadian jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat, ” katanya.

Mohammad Shofee berkata, bagaimanapun orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Sarjan Shahibul Hamdi Derama di talian 018-2714199.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Mohd Hasnan berkata, pihaknya dengan kekuatan 11 anggota dan sebuah jentera ke lokasi kejadian apabila menerima panggilan kecemasan pada jam 6.51 pagi.

Katanya, kejadian berlaku apabila lantai konkrit di jeti itu tiba-tiba runtuh dan juga pada masa sama lori muatan air batu tersebut menghempap mangsa.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak pantas dengan menggunakan alat khas dalam usaha mengeluarkan mangsa.

“Bagaimanapun selepas berjaya mengeluarkannya, mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian apabila disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi berkenaan.

Katanya, mayat diserahkan kepada pihak polis dan operasi penyelamatan tamat pada jam 9.21 pagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini