JOHOR BAHRU: Seorang pekerja patah tangan selepas tangan kanan tersepit dalam mesin memproses mi kuning di Taman Eco Perniagaan, dekat sini, petang tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku jam 3 petang tadi ketika mangsa dikenali sebagai Muhammad Ikhmal Aiman Zainal, 23, sedang memproses mi kuning menggunakan mesin berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 3.12 petang.
Susulan itu sebuah jentera bersama enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan dua, Azami Yakup dikejarkan ke lokasi.
“Anggota bomba menggunakan satu peralatan khas multitool bagi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit dan memberi rawatan awal.
“Tangan kanan mangsa telah patah dan mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan kementerian kesihatan untuk rawatan lanjut” katanya.
Punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Operasi ditamatkan 22 minit kemudian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.