PAPAR: Seorang pekerja ladang kelapa sawit maut ditikam berulang kali oleh rakan sekerjanya selepas bertengkar dipercayai berpunca RM20.
Dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Lumagar, Bongawan, dekat sini, kira-kira jam 8 malam Khamis lalu, mangsa warga Filipina berusia 37 tahun, dikatakan bertanya mengenai RM20 yang diberi isterinya untuk membeli ikan dan roti.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima aduan awam daripada pemilik ladang sawit berkenaan mengatakan berlaku pergaduhan antara beberapa pekerja syarikat dan dipercayai satu mangsa ditikam.
Katanya, punca pertengkaran adalah disebabkan mangsa bertanyakan kepada suspek berusia 26 tahun warga Indonesia mengenai wang RM20 yang diberikan oleh isteri mangsa untuk tujuan membeli ikan dan roti pada minggu lalu.
“Ini kerana menurut isteri mangsa, wang diberikan kepada suspek untuk membantunya membeli ikan dan roti, namun suspek tidak ada membeli barang berkenaan atas alasan kedai tutup.
“Wang tidak pula dipulangkan semua kepada isteri mangsa. Sebelum kejadian itu juga dikatakan isteri mangsa pernah meminjamkan wang RM30 kepada suspek namun belum membayar wang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pertengkaran berlaku kerana suspek tidak mengaku dan tidak mahu memulangkan wang yang diberi oleh isteri mangsa.
“Ketika pertengkaran mulut berlaku, suspek bertindak masuk ke dalam rumahnya dan mengambil pisau kecil lalu terus menyerang mangsa dengan menikam mangsa berkali-kali di tubuh mangsa.
“Mangsa kemudian berusaha masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan berdarah untuk mengambil senjata bagi mempertahankan diri tetapi mangsa rebah berhadapan rumahnya.
“Mangsa kemudian meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya.
Kamaruddin berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 12 tengah hari semalam, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah dan pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Balai Polis Papar, menahan suspek dalam serbuan di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, di sini.
“Turut ditahan dua lelaki dua wanita dewasa warga Indonesia dan Filipina berusia 20 hingga 60 tahun.
“Polis juga menemui dan merampas sebilah pisau berhulu kayu yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa. Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Desmond Tanggapan di talian 019-4883322.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.