GUA MUSANG: Akibat mengelak lubang dan keadaan jalan mendap, seorang pekerja ladang maut apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan pikap di Jalan Felda Aring 5, di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa, Muhamad Khairul Nidzan Che Soh, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di kepala, manakala pemandu pemandu trak pikap bersama penumpang tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150R dalam perjalanan dari rumahnya di Paloh 1 ke tempat kerja.
“Motosikal mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan ketika mengelak lubang dan jalan mendap di laluan sahnya sebelum bertembung dengan pikap Toyota Hilux.
“Pikap dipandu lelaki berusia 55 tahun yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak motosikal mangsa sehingga menyebabkan berlaku pertembungan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan di bawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222atau Pegawai Penyiasat di talian 012-4027283.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.