SUNGAI PETANI: Seorang pekerja kilang gagal maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas menyebabkan dia terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah motosikal lain di Kilometer 95 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, hari ini.
Mangsa, Mohamad Mizam Ali, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kemalangan itu pada jam 7 pagi tadi berkaitan kemalangan yang membabitkan dua buah motosikal.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal seorang diri dan sebaik sampai di tempat kejadian, motosikalnya dipercayai terbabas sendiri dan jatuh di lorong kiri lebuh raya.
“Tidak lama kemudian datang sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggangi lelaki berusia 28 tahun yang juga peniaga di laluannya namun tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa dan jatuh di atas jalan raya.
“Akibat kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal yang melanggarnya hanya mengalami kecederaan di tangan serta kaki serta dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan itu boleh tampil untuk membantu polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.