comscore
Tumpuan :
Nasional

Pekerja kilang maut tercampak lima meter, motosikal langgar papan tanda

Foto Ihsan Polis Ipoh

IPOH: Seorang pekerja kilang maut akibat tercampak sejauh lima meter selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar papan tanda yang terletak di pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Perindustrian Pengkalan, di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata, magsa berumur 27 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 1.33 pagi itu berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal melalui Jalan Perindustrian Pengkalan menghala ke arah Batu Gajah, terbabas sendiri sebelum terlanggar papan tanda yang terletak di pembahagi laluan jalan.

Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan papan tanda itu tercabut dan diseret oleh motosikal mangsa ke bahu kiri jalan.

“Manakala, mangsa tercampak dan jatuh meniarap di atas jalan raya dalam jarak lima meter dari tempat asal papan tanda berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta saksi kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini